Oleh : Noraynee Roslan

 

Apabila berbicara tentang soal pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia, itu bukan menjadi masalah lagi.  Kini terdapat banyak pusat pendidikan yang disediakan oleh sektor kerajaan dan swasta. Terpulang kepada kita sebagai rakyat untuk memilih mana hala tuju pendidikan yang kita inginkan.  Namun, berbeza situasinya dengan komuniti tanpa kewarganegaraan dan orang tanpa dokumen.  Mereka agak susah untuk mendapat akses pendidikan terutama bagi kanak-kanak.

Melihat pada situasi tersebut, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif untuk mencari solusi kepada masalah ini.  Kini terdapat program-program pendidikan dan pusat alternatif sebagai advokasi untuk anak-anak keciciran pendidikan ini. Kebiasaannya, program pendidikan ini dijalankan oleh golongan badan bukan kerajaan (NGO) manakala pusat alternatif dijalankan oleh komuniti tanpa kewarganegaraan itu sendiri. Pusat alternatif ini merupakan pusat pendidikan untuk anak-anak tanpa dokumen di Sabah.  Sedar akan pentingnya pendidikan kepada generasi muda, mereka menjalankan inisiatif yang mulia ini.

 

Secara umumnya, pusat-pusat alternatif dan program pendidikan ini mempunyai matlamat yang sama iaitu 3M.  3M merujuk kepada membaca, menulis dan mengira.  Tiga pengetahuan asas ini perlu ada dalam diri anak-anak ini untuk meneruskan kehidupan di masa hadapan.  Di samping ilmu akademik, mereka juga diajar tentang ilmu adab, sivik dan ilmu kemahiran.  Sebahagian penduduk komuniti golongan tanpa kewarganegaraan ini membina pondok atau kelas berdekatan rumah untuk dijadikan ‘sekolah’ bagi anak-anak komuniti mereka dan sekolah-sekolah ini digelar sebagai pusat alternatif.  Hal ini dijadikan medan untuk pendidikan generasi muda di samping untuk meraih pendapatan sampingan bagi guru yang mengajar.  Guru yang utama untuk mengajar anak-anak ini terdiri dari golongan komuniti ini sendiri yang mempunyai kelebihan ilmu pengetahuan.  Mereka akan mengajar asas membaca dahulu dan diikuti subjek Matematik, Sains dan English.  Selain itu, terdapat pihak luar juga yang membuat kerja sukarela untuk mengajar dan menjalankan program untuk anak-anak ini.

 

Seterusnya, program pendidikan pula dijalankan oleh NGO dalam kalangan anak muda Sandakan, Sabah itu sendiri seperti Cahaya Society yang didaftarkan atas nama Pertubuhan Pendidikan Anak Cahaya Sabah. Mereka melaksanakan program pendidikan alternatif di Sandakan.  Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan oleh Cahaya Society bagi menarik minat anak-anak ini menimba ilmu.  Program pembelajaran itu tidak hanya terhad di ruang bilik belajar, Cahaya Society juga menjalankan program-program lain seperti Kem Bestari Solat, ‘Reading Session’ di Taman Baca Cahaya, belajar alat muzik Ukulele, lawatan sambil belajar dan banyak lagi.  Menurut Asrin Utong, 24,  Pengasas Cahaya Society, “Tahun pertama, Cahaya Society fokus kepada akademik.  Tahun kedua pula, akan fokus kepada kemahiran anak-anak ini. Asah kemahiran mereka.”  Seperti sedia maklum, komuniti ini tiada akses kepada pendidikan apatah lagi pekerjaan yang terjamin.  Maka, kemahiran mereka sangat penting untuk diasah bagi kelangsungan hidup anak-anak ini membantu keluarga mereka.

Pada 29 dan 30 September yang lalu, satu kem telah dijalankan iaitu Kem Kembara Alam yang melibatkan 20 orang pelajar Cahaya Society dan 20 orang pelajar dari pusat alternatif.  Puan Jameyah Sheriff, 59, Penasihat Sekolah Belantara dan juga merupakan sukarelawan yang aktif berkata, “Kem Kembara Alam merupakan sebahagian dari modul Sekolah Belantara. Proses pembelajaran, mereka perlu menulis apa mereka telah buat.  Itu maknanya pembelajaran yang kita mahu sampaikan kepada mereka. Ini dipanggil ‘Peer Learing”.  Mereka yang buat keputusan, mereka ajar kawan-kawan, kita cuma tolong. Kalau dilihat secara menyeluruh, kem itu sendiri adalah proses pembelajaran.  Bukan semata-mata keseronokan.”  Dalam Kem Kembara Alam tersebut, terdapat juga aktiviti Bengkel “Ukulele”.  Menariknya, setelah Cikgu Asrin, 24, menunjukkan cara asas bermain ukulele, seterusnya anak-anak dari Cahaya Society pula masing-masing akan mengajar rakan mereka dari Pusat Alternatif bermain Ukulele.  Kini, anak-anak ini bukan sahaja mahir bermain alat muzik ukulele, malah mereka boleh mengajar rakan-rakan mereka.

 

Berkaitan bilangan orang tanpa kerakyatan di Malaysia, tidak terdapat angka-angka yang tepat. Sekurang-kurangnya 10,000 orang di Malaysia Barat sahaja yang dinafikan kewarganegaraan, dengan jumlah tidak diketahui di Malaysia Timur. Child Rights Coalition Malaysia tahun 2012 melaporkan bahawa, masalah utama kepada kanak-kanak keturunan Filipina dan Indonesia di Sabah, kebanyakan mereka dilahirkan di Malaysia dan tidak mengetahui negara asal mereka.  Disebabkan tidak mempunyai konsulat Filipina yang kekal di Sabah, kanak-kanak Fiipina yang berada di Sabah secara praktiknya tidak berkemungkinan mendaftarkan kelahiran.   Sekurang-kurangnya sekali sebulan di tempat berlainan di Sabah, kedutaan Filipina ada membekalkan konsulat bergerak.  Namun, kesedaran terhadap perkhidmatan yang ditawarkan ini adalah rendah dalam kalangan komuniti mereka menurut wakil-wakil daripada komuniti migran tersebut.  Manakala bagi migran berketurunan Indonesia di Sabah, terdapat satu konsulat Indonesia yang membantu memproses dokumentasi identiti orang-orang beribu bapa Indonesia di Tawau dan Kota Kinabalu. Namun bagi sesetengah ibu bapa, kos perjalanan ke konsulat adalah mahal.

 

Seperti kanak-kanak pelarian, kanak-kanak tanpa kerakyatan dan yang dalam risiko tanpa kerakyatan secara umumnya  ini sukar mendapatkan akses pendidikan rasmi, pekerjaan atau penjagaan kesihatan.  Jika situasi ini tidak dibendung, kelak akan memberi impak negatif kepada negara. Status mereka terdedah kepada penderaan, eksploitasi dan dipinggirkan.   Apabila berbicara tentang kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, sebenarnya bukan kumpulan kanak-kanak itu sahaja, tetapi seluruh keluarga itu adalah golongan tanpa kewarganegaraan.  Sesetengah pihak ingin membantu kerana mereka ini kanak-kanak.  Hal ini kerana jika mereka membesar dalam persekitaran yang tidak membantu perkembangan, keselematan, kemahiran dan tidak membantu hak dia untuk terlibat dengan komuniti, perkara ini akan menyebabkan mereka tiada arah dan seterusnya mengakibatkan mereka mudah terjerumus dengan masalah sosial negara.  Meskipun mereka tidak mendapat pendidikan sehingga ke peringkat universiti, sekurang-kurangnya mereka mendapat pendidikan asas yang boleh membantu kelangsungan hidup di negara yang mereka diami walaupun hanya berstatus warga ketanpanegaraan.

 

Di Selayang, Semenanjung Malaysia, terdapat Madrasah Hashimiah yang merupakan sebuah sekolah komuniti berasrama yang fokus pada pendidikan tahfiz dan akademik untuk anak-anak pelarian Myanmar Muslim dan Rohingya. Menariknya, selain Al-Quran dan ilmu berkaitan Agama Islam, kanak-kanak Rohingya juga diajar tentang Bahasa Myanmar, Bahasa Mandarin, Sains, Matematik dan lain-lain.  Setelah mereka tamat belajar, terdapat dari kalangan pelajar ini yang mengajar di madrasah tersebut.  Hal ini menunjukkan, akses pendidikan ini bukan sahaja merupakan tempat mereka menuntut ilmu malah kelak boleh menjadi tempat mereka mencari sumber rezeki di samping memberi manfaat semula dan berkongsi ilmu kepada generasi muda dalam kalangan mereka sendiri.  Selain itu, sekolah alternatif di daerah lain di Sabah juga didedahkan dengan kemahiran menjahit dan sebagainya.  Pelajar kelas Za’ba diajar untuk memotong kain dengan baik bagi membuat produk jahitan baru.  Anak-anak tersebut diajar kemahiran asas sebelum menggunakan mesin jahit.

 

Bagi akses pendidikan di Sabah seperti program pendidikan dan pusat alternatif ini, biasanya masalah utama adalah kekurangan tenaga pengajar atau guru.  Hal ini kerana sebahagian sukarelawan yang terlibat dalam kerja amal ini secara sukarela dan mempunyai pekerjaan tetap yang lain.  Kurangnya guru juga disebabkan kebiasaannya bergantung kepada mana-mana NGO yang membantu dan para sukarelawan ini juga mungkin perlu sedikit pendapatan untuk bergiat aktif mengajar secara sepenuh masa.   Seterusnya, dari segi guru yang terlatih.  Guru yang mengajar biasanya bukan guru yang terlatih tetapi  adalah sukarelawan atau ahli komuniti mereka sendiri.  Selain itu, terdapat beberapa ibu bapa kanak-kanak ini yang tidak mahu anak mereka ke sekolah kerana tidak mampu membayar yuran pembelajaran atau mereka lebih memilih agar anak mereka membantu bekerja mencari rezeki untuk keluarga.  Namun, terdapat sesetengah kawasan yang tidak mengenakan yuran langsung.  Maka, kelebihan tempat tersebut bagi anak-anak tanpa kewarganegaraan ini menuntut ilmu.  Kesannya, tempat pendidikan ini pula akan kekurangan kelas dan tidak dapat menampung bilangan kanak-kanak yang mahu belajar.

 

Puan Wiam Jultahil, 32, menghantar anak-anak beliau seramai tiga orang untuk belajar di pusat alternatif.   Sebelum ini, anak beliau pertama, Weyne, 12, pernah bersekolah di satu pulau bernama Pulau Bambangan.  Tetapi sejak nenek kepada Weyne meninggal dunia, dia kembali tinggal bersama ibu bapanya.  Maka, Puan Wiam serta suami bersetuju agar lebih baik anak mereka melanjutkan pelajaran di pusat alternatif ini. Hal ini agar pelajaran beliau tidak hilang begitu sahaja.  Pada awalnya, hanya anak sulung mereka yang pandai membaca dan mengira, kini ketiga-tiga anak mereka sudah mahir membaca, mengira dan ilmu pengetahuan yang lain.  Puan Wiam menyokong usaha pusat alternatif ini agar anak mereka mendapat ilmu pengetahuan yang sekurang-kurangnya dapat membantu kehidupan seharian mereka berbanding jika anak mereka hanya duduk diam di rumah.

 

Encik Asrin Utong, Pengasas Cahaya Society berkata, pada awalnya, beliau bersama rakan-rakan pergi ke kampung-kampung untuk mencari anak-anak yang mahu ke sekolah.  Mereka berjumpa dengan ibu bapa anak-anak ini untuk memberitahu tentang program pendidikan tersebut.  Pergi ke sekolah tanpa bayaran.  Maka, 20 pelajar terawal dapat dikumpulkan dan telah mengikuti banyak program pendidikan Cahaya Society ini sejak Januari lalu.  Dianggarkan, pada mulanya 80 peratus buta huruf, tetapi sehingga Ogos lepas hanya tinggal 40 peratus.  Pencapaian pendidikan anak-anak ini sangat baik dari segi membaca, mengira dan menulis.

 

Secara umumnya, program pendidikan dan pusat alternatif ini sangat memberi impak yang baik.  Sebahagian kanak-kanak ini langsung tidak tahu membaca, menulis dan mengira.  Tetapi kini, prestasi mereka semakin baik.  Melalui usaha ini juga mereka diajar tentang sahsiah diri, membentuk personaliti dan karakter yang baik seperti hormat orang tua dan adab-adab yang baik.  Hal ini juga dapat menghalang mereka dari terlibat dengan jenayah seperti dadah, rompakan dan vandalism.  Selain itu, apabila mereka diberi persekitaran yang baik, mereka juga akan faham cara membantu ibu bapa mencari rezeki dengan cara yang lebih  baik berbanding meminta sedekah.  Seterusnya, adab sopan dan personaliti anak-anak pusat alternatif serta Cahaya Society ini sangat baik.  Hal ini menyebabkan mereka disenangi oleh rakyat tempatan.  Malah, semakin ramai rakyat tempatan muda yang bergiat aktif sebagai sukarela untuk membantu menjayakan apa-apa program seperti ini.  Menurut Puan Jameyah Sheriff, program sebegini sangat baik dan anak-anak ini mempunyai banyak perkembangan, yang mana anak-anak belajar dari awal tahun, sekurang-kurangnya dari sudut bahasa tu, sudah ramai yang boleh membaca termasuk juga operasi mudah matematik. Di samping itu, kanak-kanak dan ahli keluarga komuniti tanpa kewarganegaraan itu sendiri kini mempunyai hubungan baik dengan rakyat Malaysia, mempunyai toleransi dengan etnik-etnik di Malaysia seperti kaum Melayu, Cina, dan India.

Categories: Berita

0 Comments

Leave a Reply

Avatar placeholder

Your email address will not be published. Required fields are marked *